TENTANG KAMI

Saya bermula tanpa sengaja.   Pada tahun 2015, suami saya bertugas di Kuala Lumpur dalam tempoh yang lama.  Saya pula terpaksa tinggal bersama ibu yang telah uzur  dan jauh dari suami. Sebagai penghibur dan mengisi masa lapang, suami telah menghadiahkan saya sepasang kucing mainecoon.

            Saya amat gembira kerana sudah lama teringin punya kucing bulu panjang yang cantik macam orang lain ada.  Selama ini memendam rasa sahaja harga kucing idaman mahal  tetapi sedikit risau kerana saya juga tidak mempunyai pengalaman langsung cara menguruskan kucing.  Ibu saya seorang yang anti kucing dan dalam keluarga kami langsung tidak pernah memelihara seekor kucing pun!  Saya memang ‘ZERO’ tentang kucing.  Dah la tak pernah bela kucing, dapat pula kucing berbaka, yang memerlukan penjagaan lebih dari kucing biasa.  Saya memang berdepan dengan masalah.

            Seperti yang dijangka, masalah demi masalah timbul.  Kemuncaknya adalah salah satu kucing yang dihadiahkan suami 1 bulan lepas,  mati akibat kurang arifnya saya tentang kucing sakit. Sejak itu saya kesal dan berusaha menambah info tentang penjagaan kucing dari internet, bertanya pengalaman rakan yang pelihara banyak kucing, Doktor Veterinar dan juga pet shop.

            Tidak lama selepas itu kucing saya melahirkan 5 ekor anak pula. Gembira bukan kepalang saya dan anak-anak.  Masa berlalu, saya berdepan masalah baru pula.  Masalah itu timbul apabila kos penyelenggaran 6 ekor kucing berbaka bukanlah kecil.  Ia adalah seperti belanja yang wajib dikeluarkan untuk bayi setiap bulan sedangkan saya sendiri punya anak kecil ketika itu.

            Berbelah bagi antara perasaan sayangkan kucing dan bagaimana nak kurangkan kos penyelanggaraannya, maka saya ambil keputusan menjual sebahagian sahaja anak kucing saya dengan harga mampu kerana saya melalui pengalaman teringinkan kucing cantik tapi harga tidak dapat dicapai.  Saya faham perasaannya.

            Beberapa bulan selepas itu, pembeli awal kucing saya hubungi saya semula bertanyakan kucing lain yang ingin dijual.  Atas perbualan itu menjadikan inspirasi dan pemangkin saya biakbakakan lagi kucing saya. Saya nak bantu capaikan hasrat ramai orang yang inginkan kucing mampumilik. Kali ini saya dapat sokongan penuh dari suami, anak dan ibu saya juga!